Tertuduh, Noriswan Abdol Majit, 26, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan khianat membakar kereta Proton Satria kepunyaan isterinya menyebabkan wanita berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah  atas pertuduhan menakutkan secara jenayah dengan mengugut isterinya untuk membakar rumah bapa mentuanya. 

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2 petang, di Sungai Udang pada 19 April lalu.

Difahamkan, tertuduh bertindak membakar kereta isterinya selepas tidak bersetuju dengan wanita terbabit berhubung urusan penjualan kenderaan tersebut yang didakwa dijual pada harga murah. 

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin, bagaimanapun memohon tarikh baharu untuk penyerahan fakta kes dan hukuman selain mencadangkan jaminan sebanyak RM8, 000 diberikan kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan mempunyai tiga anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2, 900 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 13 Jun depan untuk penyerahan fakta kes serta hukuman. - K! ONLINE