Beliau berkata, penerima hibah itu tidak mengetahui mengenai penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan institusi kewangan Islam itu dan tindakan memulangkan semula wang hanya akan menimbulkan kesukaran.

"Itu bukan masalah penerima (hibah), tetapi masalah pengurusan. Jadi apa yang kita buat ialah membaiki pengurusan itu supaya mengikut cara yang betul.

"Penerima tidak perlu bimbang untuk membayar balik," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan peruntukan sebanyak RM25 juta di bawah Belanjawan 2019 untuk sekolah pondok berdaftar oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di sini hari ini.

Laporan bahawa pemberian hibah TH dari tahun 2014 hingga 2017 yang bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan penyata kira-kira TH merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017, menimbulkan persoalan dalam kalangan pendeposit mengenai status halal hibah yang mereka terima.

Mengenai isu restoran bukan Islam yang menggunakan ayat Al-Quran bagi menarik pelanggan Islam, Mujahid berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan berdasarkan aduan orang ramai.

"Jakim ada mekanisme pemantauan berdasarkan laporan orang ramai dan penguatkuasa akan bertindak selepas mendapat fakta yang jelas," katanya.

Isu pengusaha bukan Islam membuka restoran 'mamak' tular dalam media sosial susulan insiden seorang pekerja restoran di Seksyen 25 Shah Alam ditampar selepas menegur seorang lelaki yang merokok di dalam restoran.

Bagaimanapun status sebenar pemilik restoran itu yang bukan beragama Islam terbongkar susulan insiden itu sehingga menyebabkan pengguna media sosial membangkitkan persoalan terhadap status halal restoran 'mamak' yang menggunakan nama Islam. - Bernama