Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia dijangka berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat menerusi 81 penerbangan sewa khas oleh Malaysia Airlines dan Flynas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Buat pertama kali bagi tahun ini, operasi haji bagi musim 1439H/2018M akan bermula di Kompleks Tabung Haji Sepang berbanding di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sebelum ini.

"Bagi tahun ini, kuota haji rasmi negara masih lagi kekal sebanyak 30,2000. Walaupun kos keseluruhan mengerjakan ibadah haji meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM22,240 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lalu, namun bayaran haji masih dikekalkan," katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Taklimat Operasi Haji Musim 1439H/2018M di sini hari ini.

Menurut Johan lagi, kompleks baharu Tabung Haji Sepang menyediakan prasarana yang lebih selesa dan serba lengkap untuk kemudahan jemaah haji dan ahli keluarga.

"Ruang pelepasan yang lebih besar dapat menampung lebih ramai jemaah haji dan Tabung Haji mampu menyediakan perkhidmatan untuk dua penerbangan dalam satu masa sekiranya diperlukan.

"Manakala, hotel dan pusat konvensyen pula akan beroperasi sepanjang tahun termasuk semasa musim haji secara komersial sebagai hotel bertaraf empat bintang kepada jemaah haji, ahli keluarga dan orang awam," katanya.

Antara kemudahan-kemudahan tambahan yang disediakan di Kompleks Tabung haji Sepang adalah tiga blok hotel bertaraf empat bintang dengan 333 bilik yang boleh ditempah, 600 parkir bertingkat diHotel Movenpick dan Pusat Persidangan (MHCC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 800 parkir di Masjid Sultan Abdul Samad, empat buah restoran dan anjung tinjau. - K! ONLINE