Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini berkata pesawat pengangkut TUDM A400M itu membawa Menteri Pertahanan dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memenuhi jemputan majlis berbuka puasa selain perjumpaan pertama bersama warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth.

"Penerbangan pesawat tersebut juga digunakan bagi memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan juruterbang TUDM yang membawa pesawat berkenaan.

"Ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetensi mereka," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya pergerakan berkenaan juga dapat menjimatkan kos pengangkutan berbanding menggunakan pesawat komersial dari aspek masa dan kos penerbangan oleh Kementerian Pertahanan bagi kedua-dua tujuan itu.

Menurut kenyataan itu, kehadiran Menteri Pertahanan mengikuti penerbangan dengan pesawat A400M turut bertujuan memberi pendedahan mengenai keupayaan, prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat A400M, pesawat pengangkut pelbagai guna dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan di samping mengekalkan tahap kesiagaan ATM.

"Warga TUDM khasnya dan ATM amnya amat terharu dan gembira atas kesudian Menteri Pertahanan meluangkan masa menghadiri program-program yang dilaksanakan di peringkat perkhidmatan," kata kenyataan itu.

Isnin lepas, seorang peguam dilaporkan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa Mohamad menyalahgunakan aset tentera untuk lawatan ke Butterworth baru-baru ini. - Bernama