Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, turut menyebabkan peniaga pasar besar Jelawat bertempiaran lari meninggalkan gerai perniagaan mereka ke kawasan yang selamat. 

Seorang penduduk sekitar pekan itu, Abdullah Ahmad, 44, berkata kebanyakan peniaga hanya mampu melaungkan azan dengan harapan angin kencang reda. 

Beberapa kenderaan turut mengalami kerosakan  apabila dihempap pokok yang tumbang termasuk besi papan tanda di beberapa buah sekolah turut diterbangkan angin. 

Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Ridzuan Hamat berkata, tinjauan selepas ribut mendapati banyak kerosakan rumah terutama atap dan bumbung rumah penduduk. 

"Saya melawat kawasan sekitar rumah penduduk yang rosak petang tadi. Kejadian berlaku begitu pantas namun setakat ini belum ada laporan kecederaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengesahkan kejadian itu. 

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan kerosakan rumah atau kehilangan nyawa. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Mohd Rohni ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.05 petang daripada orang ramai.

“Ketika kejadian, kenderaan dikatakan bergerak perlahan berikutan cuaca hujan dan berangin. Dua buah kereta jenis Proton Wira dan Proton Satria dihempap pokok yang tumbang merintangi jalan.

“Setiap kereta itu dipandu oleh seorang lelaki dan mereka sempat keluar dengan selamat. Kami mengambil masa 15 minit untuk memotong pokok berkenaan untuk membolehkan mangsa meneruskan perjalanannya,” katanya.

Katanya, di lokasi kedua pula di hadapan Sekolah Kebangsaan Tangok sebatang  pokok menimpa kereta jenis Perodua Kancil namun pemandunya selamat tanpa kecederaan.

Ibrahim berkata, operasi itu melibatkan sembilan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera. - K! ONLINE