Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baharu memulakan tugasnya secara rasmi hari ini berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk mengkaji dan membincangkan perkara itu dengan teknokrat yang terlibat sebelum mengambil keputusan.

"Alhamdulillah, hubungan saya dengan (Menteri Pendidikan) Dr. Maszlee Malik agak baik, saya akan berbincang dengannya cadangan kaji semula Pendidikan Jasmani. Ini supaya kita dapat latih anak-anak bersukan dari bangku sekolah lagi untuk merealisasi impian menjadi negara bersukan.

"Bagi program Rakan Sukan, saya perlu berbincang dengan pakar-pakar di KBS, kerana saya tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru yang boleh memburukkan keadaan," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat dan majlis serah tugas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Program Rakan Sukan adalah inisiatif kerajaan untuk mendapatkan tajaan sebuah syarikat swasta bagi sukan yang diperkenalkan pada 1994, iaitu empat tahun sebelum Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998. - Bernama