"Ancaman angin ribut bersama hujan dan petir di laut menyebabkan para nelayan terbabit tidak berani turun ke laut kerana bimbang keselamatan mereka terancam," kata Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PNNPs), Mahazan Sudin kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, nelayan-nelayan berkenaan kini hanya mengharapkan bantuan sara hidup kerajaan untuk menampung perbelanjaan mereka.

Katanya lagi, lebih kurang 700 nelayan di negeri ini layak menerima bantuan tersebut sejak empat tahun lepas membabitkan nelayan pantai yang menangkap ikan dalam zon A dan zon B pada jarak tidak lebih lapan batu nautika dari pantai.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat agung PNNPs telah meluluskan usul meminta kerajaan mempertimbang untuk menambah jumlah pemberian bantuan sara hidup kepada nelayan, bersesuaian dengan keadaan semasa. - Bernama