Mangsa, Maszidah Muhammad, 31, berjaya diselamatkan kira-kira pukul 1 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Gua Musang, Anuar Abas berkata, usaha menyelamat itu memasuki hari kedua selepas gagal berbuat semalam.

Katanya, operasi menyelamat menggunakan helikopter itu ditangguhkan sejak pukul 4 petang semalam kerana keadaan cuaca buruk dan kabus tebal di puncak gunung berkenaan.

“Pasukan unit itu menyambung operasi pada pukul 11 pagi ini dan berjaya menyelamat mangsa sebelum dibawa keluar dengan mendarat di pekarangan balai bomba di sini pada pukul 2 petang.

“Mangsa lemah dan keletihan kerana tiga hari terpaksa berada di puncak gunung itu kerana tidak boleh meneruskan perjalanan turun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi Ahad lalu, tiga daripada 20 pendaki Gunung Yong Yap cedera ketika dalam perjalanan turun dari puncak gunung terbabit.
 
Dua daripada mereka iaitu Norhayati Ibrahim, 42, dan Ani Murni Abd Hamid, 32, berjaya diselamatkan anggota bomba pada pukul 10 malam kelmarin.

Hanya Maszidah yang cedera bahagian lutut kanan gagal diselamatkan kerana berada di lokasi berasingan di gunung itu dan terpaksa mendapatkan khidmat unit udara JBPM yang berpangkalan di Subang, Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan semua mangsa yang cedera sudah berjaya diselamatkan.

Beliau turut menasihatkan rombongan yang mendaki mana-mana gunung di daerah ini untuk melapor diri dulu di balai polis bagi memudahkan segala urusan.

“Ramai rombongan yang mendaki gunung termasuk di kawasan Lojing berbuat demikian walaupun di Lojing ada pondok polis disediakan.

“Kita dimaklumkan pendaki yang cedera tak ada dalam rekod laporan pendaki gunung. Laporan itu mudah untuk kita bertindak ketika mereka dalam kecemasan. Apa yang penting senarai nama pendaki bersama nombor telefon bimbit mereka direkodkan,” katanya. - K! ONLINE