Dalam kejadian pada pukul 11.23 pagi tersebut, mangsa, Joshua William berusia 30 tahun dikatakan terkehel pada bahagian lutut kiri ketika menuruni gunung berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Mosar berjaya menyelamatkan lelaki tersebut turun ke kawasan Timpohan Gate dekat sini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau, Jimmy Lagung berkata, seramai tiga anggota Mosar dengan kerjasama dua orang malim gunung segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.

"Pendaki terbabit diusung turun dengan menggunakan kaedah 'robinson stretcher' sehingga Timpohan Gate.

"Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Operasi menyelamat tamat pada pukul 2.30 petang tadi. - K! ONLINE