Pengarah Pendidikan Putrajaya, Roaini Jaafar berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1,000 murid berbanding 3,000 murid yang mendaftar ke Tahun Satu pada sesi persekolahan 2017.

Katanya, peningkatan itu adalah kerana faktor pertambahan penduduk di sekitar Putrajaya selepas beberapa projek perumahan dibuka di sini.

"Ini merupakan jumlah pendaftaran murid Tahun Satu tertinggi yang dicatatkan di Putrajaya setakat ini," katanya selepas meninjau hari orientasi murid Tahun Satu dan pendaftaran prasekolah bagi sesi persekolahan 2018 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2) di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, jumlah pendaftaran murid Tahun Satu yang tertinggi di Putrajaya bagi sesi persekolahan 2018 ialah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) iaitu 400 orang.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di sekolah itu mendapati, suasana ceria di sekolah tersebut apabila guru dan kakitangan pentadbiran sekolah mengenakan pakaian alam fantasi bagi menyambut kehadiran murid selain memberikan hadiah berupa kotak pensil kepada setiap murid.

Guru Besar SK Putrajaya Presint 11 (2), Nor Aizah Ismail berkata, mengenakan pakaian mengikut tema tersebut bagi membangkitkan suasana ceria dan menyeronokkan kepada murid-murid untuk memulakan persekolahan.

"Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan apabila banyak murid-murid amat ceria dan teruja dengan pakaian kreatif guru-guru mereka," katanya. - K! ONLINE