Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat ini ada di antara mereka didapati terlibat dengan elemen jenayah malah berkemungkinan besar turut memiliki rekod jenayah lampau, namun siasatan setakat ini difokuskan terhadap pembabitan suspek di dalam kes pembuangan bahan kimia.

"Kesemua suspek merupakan warga tempatan yang bekerja dengan syarikat-syarikat tertentu dan kami dapati mempunyai kaitan langsung dengan kes ini.

"Siasatan kini sedang rancak dijalankan dan kita yakin akan dapat mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Koperasi Polis Diraja Malaysia dengan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) di sini.

Tambah Mohamad Fuzi, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ada lagi tangkapan yang akan dilakukan bagi membantu proses siasatan.

"Siasatan kini diteruskan oleh polis Johor dan diselaraskan oleh Bukit Aman," jelas beliau.

Kosmo! Online semalam melaporkan tentang penahanan sembilan lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 278, Seksyen 284 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan," tegas beliau. - K! ONLINE