Sultan Ibrahim, dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office (RPO) menerusi laman Facebook rasmi baginda di sini hari ini bertitah, keputusan tersebut dilakukan demi rakyat kerana sedih melihat ada di antara mereka yang sengsara akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang. 

"Ramai yang terjejas kerana pencemaran sisa bahan kimia akibat pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU) manakala sekolah juga masih ditutup. 

"Saya membatalkan dua acara ini oleh sebab tidak mahu berada di majlis yang meriah sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan masih menderita," titah Sultan Johor dalam kenyataan itu.

Baginda juga bertitah, dengan pembatalan acara tersebut sekaligus membolehkan petugas-petugas membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim. - Bernama