Tertuduh, Sim Wei Der, 50, yang juga warganegara Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, Wei Der didakwa bersubahat dengan pemandu lori, N. Maridass, 35 serta pengarah syarikat, Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Choa, 34, untuk melupuskan buangan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak.

Perbuatan itu seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dengan melupus sisa buangan ke dalam Sungai Kim Kim dengan menggunakan sebuah lori jenis Mitsubishi dan semi treler tangki minyak sawit tanpa mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara pukul 12.01 hingga 1 pagi pada 7 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibacakan bersama Seksyen 42 akta yang sama yang boleh dihukum dibawah Seksyen 34B(4) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Joshua Tay.

Jailani memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri di Balai Polis Pasir Gudang pada 15 hari bulan setiap bulan sehingga kes perbicaraab selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Mei ini sebagai sebutan semula kes. - K! ONLINE