Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata, kerja-kerja pembersihan sekolah juga akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sekolah dibuka semula.

"Pembersihan akan dilakukan pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru, penglibatan ibu bapa dan komuniti, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta tanpa melibatkan murid.

"Ia akan mengikut kesesuaian pihak sekolah sebelum sekolah dibuka dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi menangani pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 19 Mac telah memutuskan menghentikan Ops Sungai Kim Kim. - Bernama