Beliau berkata, mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki bagi menangani insiden berkenaan.

“Sebagai ketua (kerajaan) negeri, saya dengan rendah diri memohon maaf kepada penduduk Pasir Gudang dan berjanji akan berusaha membaiki kelemahan sedia ada,” katanya ketika berucap pada Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Menurut Sahruddin, di peringkat kerajaan negeri, pihaknya sudah pun mengambil pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk memastikan semua penduduk yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya serta untuk menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar.

“Kita merasa sedih dan terkilan kerana pembangunan yang dirancang pada suatu ketika dahulu di kawasan ini tidak mengambil kira kelestarian dan kesan jangka panjang terhadap penduduk di Pasir Gudang.

“Namun, kita tidak mahu hanya menuding jari kerana kita sedar, ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Oleh itu, pada hari ini kita mengambil tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden ini supaya tidak terus berulang," katanya.

Bagaimanapun, jalan penyelesaian bukan boleh dilakukan sekelip mata, ia perlu dirangka secara komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak agar kesannya memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Beliau berharap, melalui sesi townhall itu, ia akan dapat memberi penerangan kepada masyarakat terhadap situasi sebenar pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

Hal ini penting, kata beliau agar ia tidak terus menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat sekali gus menamatkan spekulasi negatif terhadap tindakan kerajaan sedia ada.

Selain itu, ia juga diharap dapat membuka ruang pertukaran idea, pendapat, maklum balas dan cadangan daripada mereka yang terlibat untuk menangani masalah yang sedang dihadapi.

Sejak 20 Jun lepas sehingga baru-baru ini, ratusan murid dan pelajar serta guru terjejas berikutan insiden muntah-muntah dan sesak nafas dipercayai disebabkan pencemaran di kawasan Pasir Gudang.

Sementara itu, kira-kira 100 penduduk Pasir Gudang mengadakan himpunan aman di stadium tertutup berkenaan sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berhubung insiden pencemaran itu.

Himpunan diadakan kira-kira sejam sebelum penganjuran sesi townhall berkenaan.

Melalui pemerhatian Bernama, terdapat beberapa anggota polis ditugaskan untuk mengawal himpunan terbabit, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terdapat insiden tidak diingini berlaku.

Difahamkan, antara yang menyertai himpunan ialah mangsa pencemaran, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan anggota-anggota parti politik pembangkang di Pasir Gudang.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Pencemaran Pasir Gudang Mohd Rafee Abdullah yang turut hadir pada himpunan itu berkata pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada menteri besar Johor selepas sesi townhall tersebut. - Bernama