Pengerusi Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Lioe Cai Tung berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengedarkan makanan bermasak, roti, biskut, air kotak dan air mineral kepada mangsa dan keluarga di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak kejadian berlaku pada 7 Mac lalu.
 
Menurut Cai Tung yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, pihaknya mengagihkan 1,300 pek makanan ke Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, Dewan Taman Mawar, Dewan Jalan Cermai 16, Bilik Gerakan HSI, Bilik Gerakan Bencana Aqabah, dan 10 ribu unit topeng hidung dan mulut.
 
"Saya telah meminta JKM Negeri Johor dan Yayasan Pasir Gudang untuk bekerjasama untuk memastikan makanan mangsa, kakitangan perubatan dan petugas sentiasa mencukupi.
 
"Untuk makluman, dua pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kota Masai yang berumur 5 tahun dan 21 tahun (mempunyai masalah pembelajaran) telah menunjukkan simptom-simptom selesema dan muntah-muntah pada 12 Mac 2019," katanya.

Cai Tung berkata, tindakan segera yang diambil oleh cikgu-cikgu adalah membersihkan dan memandikan dua orang pelatih tersebut. 

Jelasnya, mereka juga dihantar ke hospital dan klinik swasta, dan kini berada dalam keadaan selamat. 

"Justeru itu, PDK Kota Masai dan PDK Ulu Tiram yang terletak dalam radius kawasan pencemaran tersebut telah diarahkan tutup buat sementara sehingga situasi memulih seperti biasa," katanya. - K! ONLINE.