Seorang penduduk, Ahmad Roh Ariffin, 50, mendakwa tong-tong terbabit ditemui penduduk ketika memikat burung dan ayam hutan di belukar berdekatan.

"Penduduk jumpa sejak Khamis lalu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa namun tidak diambil tindakan.

"Kita jumpa tiga tong dibuang ke dalam parit berdekatan manakala empat tong lagi di bawah jambatan.

"Hari ini kita lapor sekali lagi supaya tindakan segera diambil supaya kejadian pencemaran seperti Sungai Kim Kim tidak berulang lagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahmad Roh berkata, mereka tidak mengetahui apa isi kandung tong terbabit namun selepas dihidu berbau seperti cuka.

Jelasnya, sebelum ini ada penduduk mendakwa terdapat lebih 20 tong namun dipercayai diambil oleh penagih dadah untuk dijual.

Tinjauan Kosmo! Online di lokasi kejadian mendapati kawasan yang didakwa itu dikawal oleh anggota polis dan masih menunggu pihak bomba datang untuk melakukan siasatan. - K! ONLINE