Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, 30 buah sekolah yang terbabit untuk pembacaan kualiti udara hari ini terdiri daripada premis yang terletak antara lima hingga sembilan kilometer (km) daripada lokasi tempat pembuangan sisa bahan kimia di sungai terbabit. 

"Hari ini kita gerakkan 30 pasukan ke 30 sekolah untuk pantau kualiti udara dengan menggunakan pengesan gas mudah alih dan eaok kita akan dapatkan semua laporan itu.

"Sebelum ini kita sudah membuat pemantauan di tempat berbeza-beza dan keseluruhannya udara dalam tahap selamat. Sekarang liputan kawasan pemantauan lebih besar dan kita perlu lihat keseluruhan kawasan perlu selamat," katanya ketika sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung. 

Yeo berkata, sehingga kini, keseluruhan 1.5 km sungai yang tercemar sudah dibersihkan, namun pemantauan akan dilakukan bermula hari ini bagi melihat jika ada kawasan lain yang perlu dibersihkan. 

"Hari ini kita tengok lagi jika ada apa-apa yang perlu dibersihkan lagi sebelum kita tentukan langkah seterusnya," katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata, Jawatankuasa Saintifik yang ditubuhkan bagi menangani isu pencemaran Sungai Kim Kim, kini sedang mengkaji beberapa perkara bagi mengelakkan berlakunya insiden sama di masa akan datang. 

"Mereka juga akan mengkaji bagaimana pengaliran air bawah tanah sama ada sudah selamat atau tidak," katanya. - K! ONLINE.