Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang aduan mengenai kebimbangan pelancong untuk datang ke Johor disebabkan pencemaran di sungai berkenaan.

"Kita menyasarkan seramai 16.6 juta pengunjung akan datang ke Johor sepanjang tahun ini, yang mana lapan juta daripadanya menetap di Johor sekurang-kurangnya satu malam," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Johor 2019 di Tampoi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada pencemaran alam sekitar itu ada mendatangkan kebimbangan pelancong sekali gus menjejaskan bilangan mereka untuk melawat negeri itu terutamanya menjelang Tahun Melawat Johor 2020.

Pada tahun lepas, seramai 15.84 juta pengunjung melawat Johor berbanding 14.44 juta pelancong pada tahun 2017.

Memandangkan tahun hadapan juga merupakan penganjuran Sukan Malaysia di negeri ini, pihaknya juga yakin bilangan pengunjung ke Johor akan meningkat lagi, kata Liow.

Pembersihan sisa toksik sepanjang 1.5 km yang dikenal pasti di Sungai Kim Kim telah berjaya diselesaikan  pada 17 Mac lepas. - Bernama