Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, polis juga menemui sebuah lori yang dipercayai digunakan suspek yang terlibat membuang sisa kimia itu ke Sungai Kim Kim.

“Kedua-dua suspek direman bermula hari ini sehingga 25 Mac ini bagi membantu siasatan. Kita percaya kedua-dua suspek ini bertanggungjawab membenarkan suspek yang ditahan sebelum ini untuk proses seterusnya (pembuangan sisa kimia) ke Sungai Kim Kim.

“Penahanan dua suspek ini menjadikan keseluruhan suspek yang ditahan berkaitan kes ini ialah 10 suspek. Mereka kesemuanya berusia lingkungan 27 hingga 41 tahun,” katanya pada sidang akhbar di perkarangan Menara Aqabah di sini, hari ini.

Terdahulu Khalil memberitahu seorang daripada sembilan suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan atas jaminan polis. 

Mereka ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada nyawa manusia. Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE.