Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati pemancing itu tersebut berasa tidak puas hati selepas diarahkan keluar oleh pekerja pontun pengorekan pasir Syarikat Two-B Machineries Sdn. Bhd. milik kontraktor Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB). 

Katanya, insiden tersebut berlaku kira-kira tiga hari sebelum berlakunya  pencemaran tersebut. 

"Mereka berkemungkinan memancing di kawasan pontun itu disebabkan banyak ikan. 

"Mungkin disebabkan rasa tidak puas hati ditegur, mereka telah bertindak membuka klip saluran daripada dua tong minyak sehingga 100 liter diesel mengalir di dalam sungai tersebut," katanya pada sidang akhbar di Loji LRA Fasa 2 (LRA SSP2) di sini hari ini. 

Menurut beliau, kawasan pengorekan pasir tersebut merupakan kawasan terbuka dan sering menjadi tumpuan para pemancing. 

Jarak lokasi kawasan pencemaran dengan LRA SSP2 adalah kira-kira enam kilometer (km). 

Ujar Noor Azam, berdasarkan siasatan awal mendapati pengorekkan pasir di kawasan tersebut didapati tidak beroperasi sejak dua bulan lalu namun pontun itu masih berada di sana. 

"Pekerja kontraktor itu didapati menjaga pontun itu berikutan masih mempunyai peralatan dan risau akan kehilangannya. 

"Sebuah tong minyak itu mampu diisi dengan kapasiti 200 liter dan semasa kejadian hanya 100 liter dilaporkan tumpah ke dalam air," katanya.

Jelas beliau, pihaknya telah menerima laporan polis daripada syarikat  berkenan  pukul 10.30 malam selama di Balai Polis Bestari Jaya. 

"Setakat ini, kita masih mengesan individu yang terlibat dan berdasarkan laporan syarikat kontraktor itu hanya melihat sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan pemancing tersebut. 
"Kita akan bekerjasama dengan pihak Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) berkaitan kes ini," katanya. 

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu pengkhianatan dengan cara merosakkan kerja-kerja pengairan atau secara salah menyimpang aliran air. - K! ONLINE