Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, pihaknnya bagaimanapun perlu menunggu laporan ujian toksikologi dari Jabatan Kimia bagi memastikan kewujudan elemen sianida.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman sosial Twitter peribadinya mendakwa wujud elemen sianida dalam tubuh sebilangan mangsa terjejas.

"Kita tunggu laporan ujian daripada Jabatan Kimia sebelum memaklumkan berhubung perkara ini," katanya Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong melawat pusat rawatan awal pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.

Chin Tong memuji tindakan pasukan bantuan Tim Tinjau Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) serta Tim Nyah Cemar (CBRN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, Komander Jurutera Medan Barat, Brigadier Jeneral Ir. Abdul Hamid Mohd. Isa berkata, tim dari pasukan ATM ini akan membantu dari segi kepakaran membuat tinjauan, identifikasi, serta membuat tandaan tempat yang dikenal pasti.

"Sekarang ini kita sedang membantu tim Hazmat daripada bomba untuk membuat tinjauan di lokasi terkesan.

"Semalam kita membuat tinjauan, identifikasi, serta membuat tandaan tempat yang ditetapkan itu dan hari ini kita menunggu arahan selanjutnya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Menurut Abdul Hamid, seramai tujuh pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat diatur gerak untuk menghulurkan bantuan. - K! ONLINE