Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, tempoh penutupan ini masih berjalan sehingga dimaklumkan kelak.

"Saya hadir pada hari ini ke Menara Aqabah mendengar taklimat dan mendapatkan penjelasan daripada semua pihak berkuasa dan pakar yang terlibat dalam isu pencemaran sisa kimia di daerah Pasir Gudang.

"KPM mendapati semua sekolah yang ditutup masih belum boleh dibuka lagi dan tempoh penutupan ini masih berjalan sehingga dimaklumkan kelak," katanya pada sidang akhbar di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Cuti sekolah penggal pertama tahun ini akan bermula Jumaat ini sehingga 30 Mac depan.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pihaknya akan melihat perkembangan semasa berkaitan keadaan pencemaran sebelum tarikh sekolah akan dibuka diumumkan kelak.

"Selepas cuti sekolah ini (cuti penggal) kita akan lihat perkembangan semasa dan akan maklumkan bila sekolah akan dibuka, apa yang penting adalah keselamatan pelajar kita menjadi keutamaan," katanya.

Rabu lau, KPM memaklumkan kesemua 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang telah diarah ditutup serta-merta, susulan kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim yang kini berada pada tahap yang semakin kritikal. - K! ONLINE