Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,483 mangsa ditempatkan di Pusat Saringan Dewan Taman Pasir Putih dengan 224 kes dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Manakala, seramai 423 mangsa ditempatkan di Pusat Saringan Dewan Taman Mawar dengan 52 kes dirujuk ke HSI.

"869 mangsa telah mendapatkan rawatan secara terus di hospital dan klinik-klinik di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru tanpa merujuk kepada pusat saringan yang dibuka.

"Bagi memastikan jumlah mangsa berada pada tahap terkawal, kerajaan negeri mengambil langkah pemantauan udara secara berkala dalam memastikan orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkenaan insiden ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sahruddin berkata, selain 111 sekolah yang telah diarahkan tutup semalam, sebanyak 92 buah tadika dan taska di kawasan terjejas juga telah mengambil tindakan sama bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.

Tambahnya, seramai 426 petugas daripada 19 jabatan dan agensi kerajaan telah ditempatkan bagi memastikan kawalan insiden ini berada pada tahap terbaik. - K! ONLINE