Mohd. Zahiruddin Hassan, 35, berkata, beliau ada terbaca berita yang tular di media sosial mengenai penemuan adiknya di Johor namun hingga kini individu yang mendakwa sedemikian tidak berjumpa dengannya mahupun ahli keluarganya.

"Kalau betul Acap dah dijumpai di Johor, kami sekeluarga sangat syukur dan orang yang tahu perkara tersebut diminta tampil untuk membawa kami ke lokasi berkenaan agar kami tidak perlu mencarinya lagi.

"Bawalah kami berjumpa dengan Acap. Janganlah sebarkan sesuatu yang tidak benar seperti kewujudan Acap di mana-mana lokasi sedangkan kami dan pasukan penyelamat di sini masih berusaha mencarinya," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mohd. Zahiruddin, pihak keluarga mengesahkan perkara yang tular tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Mohon jangan sebarkan perkara tidak betul. Jika ada maklumat, tampillah beritahu kami atau pihak berkuasa. Saya sendiri sudah lebih dua minggu mencari dan sudah lebih dua minggu tidak bekerja," katanya.

Dalam kejadian 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf disedari hilang selepas dia tidak muncul di garisan penamat walaupun dia merupakan 10 peserta yang sedang mendahului perlumbaan.

Usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sukarelawan walaupun tiada petunjuk baharu ditemui. - K! ONLINE