Difahamkan, tulang yang belum dikenal pasti sama ada milik manusia atau haiwan itu ditemui berhampiran kawasan Gua Kandu di sini kira-kira pada pukul 1.30 petang semalam sebelum perkara tersebut dilaporkan kepada pihak polis.

Menurut sumber, tulang itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan kini menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan sama ada tulang manusia atau sebaliknya.

"Maklumat itu daripada orang awam yang mencari. Tidak tahu sama ada tulang itu milik haiwan atau manusia atau mungkin tulang Orang Asli dulu-dulu yang diletakkan di situ.

"Dari segi bentuk fizikal, tulang itu seperti sudah lama dan bukannya tulang baharu," katanya.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pimpinan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pintu Padang, Mohd. Fairis Zabidi berkata, lokasi penemuan tulang itu terletak jauh ke dalam di belakang Gua Kandu dan jarang dilalui penduduk.

Katanya, dia hanya dimaklumkan mengenai penemuan itu pada pukul 3 petang.

"Selepas operasi ditangguhkan oleh pasukan keselamatan, penduduk kampung masih menjalankan operasi pencarian namun dalam kumpulan kecil dengan dibantu sukarelawan luar," katanya.

Dalam kejadian pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu. - K! ONLINE