Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perbincangan mengenainya diadakan atas permintaan penduduk kampung sendiri yang mahu menjalankan operasi SAR hanya dalam kalangan mereka.

“Ada permintaan penduduk di sini untuk mencari mangsa berdasarkan pengalaman mereka dan meminta orang awam yang bukan penduduk keluar seketika dari kawasan berkenaan.

“Perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan secepat mungkin agar tarikh dan tempoh operasi yang akan diadakan penduduk kampung dapat ditentukan dan hasilnya mungkin dapat diketahui esok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini hari ini. Turut hadiri Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.

Tambah Zuraida, pada prinsipnya beliau bersetuju dengan permintaan penduduk kampung berkenaan bagi membolehkan mereka melakukan usaha mencari mangsa dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Dalam lawatan tersebut, Zuraida turut meluangkan masa bertemu ibu Mohammad Ashraf, Siti Maznah Khamis, 58; bapa tirinya, Sukar Rashid, 57 dan adik-beradiknya yang lain bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat.

Menurut Zuraida, meskipun pencarian itu akan ditangguhkan, pihak bomba dan polis sentiasa bersiap sedia memberi sokongan  dalam menghadapi sebarang kecemasan semasa operasi pencarian oleh penduduk dilakukan.

Katanya, perbincangan akan turut dilakukan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengenai cara dan bagaimana untuk mereka melakukan pencarian.

Dalam kejadian 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf disedari hilang selepas dia tidak muncul di garisan penamat perlumbaan kategori 25 Kilometer itu walaupun berada di kedudukan 10 teratas peserta yang mendahului perlumbaan berkenaan. - K! ONLINE