Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullan berkata, suspek berusia 39 tahun tersebut ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Gajah dekat sini pada pukul 8.30 malam 12 Ogos lalu. 

“Siasatan lanjut mendapati lima wanita telah dicabul suspek menggunakan modus operandi sama iaitu menghampiri mangsa menggunakan motosikal jenis Yamaha Lagenda sebelum meraba payudara mangsa. 

“Suspek kemudian memecut laju motosikalnya meninggalkan mangsa selepas melakukan perbuatan keji itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Mohamad Zainal, pihaknya percaya ada mangsa yang tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut kerana mangsa malu selain mengalami trauma. 

“Antara lokasi yang menjadi tumpuan suspek ialah Jalan Kelisa 1, Jalan Ulu Dedap, Jalan Bawah Bukit Lada, Jalan Felcra Cangkat Lada-Ulu Dedap dan Jalan Kampung Tersusun Changkat Lada. 

“Polis turut merampas motosikal suspek yang digunakan untuk melakukan jenayah itu,” katanya. 

Menurutnya, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh dan Mahkamah Majistret Parit esok. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya. - K! ONLINE