Dalam beberapa siri kejadian, suspek berusia 26 tahun itu dikatakan telah mendekati mangsa yang sedang berjalan kaki atau berbasikal ke tempat kerja di Kawasan Perindustiran Bukit Minyak, Bukit Mertajam sebelum menoreh belakang dan tangan mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa yang terlibat terpaksa menerima beberapa jahitan selain ada yang mendakwa turut disamun suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu ke atas sembilan mangsa di kawasan itu sejak Jun lalu hingga semalam.

Menurutnya, suspek yang positif dadah mendakwa bertindak demikian kerana perasaan marah terhadap warga asing apabila sering menganggu adik perempuannya sebelum ini.

Dalam pada itu, polis turut merampas tiga bilah pisau iaitu masing-masing sebilah pisau yang diubah suai sepanjang 16 sentimeter (sm), pisau dapur (19sm) dan pisau lipat (15sm). - K! ONLINE