Anggota Majlis Eksekutif MCPF Tan Sri Lee Lam Thye  berkata, dadah kekal menjadi musuh nombor satu negara dan menggesa orang ramai untuk memainkan peranan aktif dalam menjadikan Malaysia bebas dadah.

"Tahun lepas jumlah penagih dadah dicatatkan sebanyak 25,992, dan daripada jumlah itu sebanyak 18,440 ialah penagih baharu.  Daripada jumlah itu, penagih lelaki  berjumlah  24,926, manakala 996 ialah wanita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Keluarga Berbasikal Ahad di sini, hari ini.

Dengan kira-kira 80 peratus penagih dadah berumur antara 13 hingga 40 tahun, Lee berkata terdapat keperluan mendesak untuk masyarakat bersama-sama memerangi masalah dadah.

Beliau turut menggesa anggota keluarga, khususnya ibu bapa, untuk terbabit secara langsung dalam kehidupan anak-anak mereka dan memantau aktiviti mereka bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa kepada penyalahgunaan dadah.

"Kempen kesedaran telah menjadi amat penting dalam membantu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya dadah.

"Selain itu program seperti  Keluarga Berbasikal Ahad di Sabah ini dapat menggalakkan gaya hidup lebih sihat untuk menguruskan tekanan dan bukannya dengan  mengambil dadah," katanya.

Lee berkata pada tahun lepas Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah mencatatkan jumlah penagih dadah tertinggi, masing-masing sebanyak 3,884; 3,700; dan 2,655 manakala Putrajaya mencatatkan jumlah terendah dengan 38 penagih.

Menurutnya, jenis dadah yang paling banyak disalahgunakan sepanjang 2017 ialah methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Komuniti dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata sungguhpun kerajaan negeri dan pihak berkuasa relevan bekerja keras membanteras penyalahgunaan dadah di Sabah, wujud kebimbangan tentang trend baharu penyalahgunaan dadah yang hanya dapat dicegah oleh masyarakat sebelum perkara itu menjadi lebih buruk.

Beliau mendakwa sejak awal tahun lepas, terdapat kemungkinan pihak berkuasa tidak dapat mengesan kehadiran dadah itu dalam tubuh penagih hasil daripada pengunaan pelbagai jenis dadah sintetik.

"Jadi, saya menggesa semua ibu bapa untuk memeriksa barang milik anak-anak dan beg sekolah mereka. Jangan berikan alasan terlalu sibuk dengan kerja sehingga tidak sedar apa yang anak anda lakukan.

"Kita tidak mahu adanya penagih muda yang menyatakan mereka terlibat dengan masalah dadah kerana ibu bapa mereka tidak mengambil berat akan diri mereka," katanya.

Program Keluarga Berbasikal Ahad dilancarkan  Ketua Menteri Sabah  Tan Sri Musa Aman, dengan melepaskan  451 peserta yang mengambil bahagian dalam program berbasikal sejauh 66 km dari Teluk Likas di sini sehingga ke Salut, dekat Sepanggar.

Pelbagai acara turut diadakan bersempena program itu termasuk pemeriksaan kesihatan percuma dan pameran kesedaran bahaya dadah. - Bernama