Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Rino Bawin, 23, dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menjala ikan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 5.37 petang.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati penduduk kampung sedang berusaha mencari mangsa dengan menggunakan kaedah jala serta pukat. 

"Pasukan bomba kemudian melakukan operasi pencarian di permukaan sungai dengan menggunakan peralatan khas iaitu ‘grappling iron’," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Tawang memberitahu, selepas lebih sejam melakukan gerakan mencari dan menyelamat, mangsa akhirnya ditemui oleh penduduk kampung.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira dua meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sebelum itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang pandai berenang terus tenggelam dan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 6.30 petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis," ujarnya lagi. - K! ONLINE