Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu menerima maklumat kejadian itu pada pukul 2.37 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota dari BBP Lundu dan tujuh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Batu Lintang kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Norrahim Hipni berusia lingkungan 20-an tiba-tiba nekad terjun ke dalam sungai itu.

"Usaha mencari dan mengesan mangsa sedang dilaksanakan, namun setakat pukul 12 tengah hari ini pemuda berkenaan masih belum dijumpai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ling Hii menambah, operasi itu turut disertai tiga anggota polis dan 10 penduduk kampung bersama lima bot. - K! ONLINE