Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, dengan keluasan 43,000 meter persegi di MITEC, pempamer boleh menonjolkan produk mereka dan tidak lagi terselindung di ruang yang kecil.

Tambah beliau, dengan persiapan DSA dan NATSEC Asia 2018 yang begitu rapi, ia secara tidak langsung akan membuahkan hasil hang lebih baik serta dapat meletakkan imej negara berada pada tahap yang tinggi khususnya dalam pameran pertahanan.

"Saya telah tanya beberapa syarikat pempamer pertahanan luar negara, mereka memuji ruang MITEC yang strategik dan terbaik," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan persiapan DSA dan NATSEC Asia 2018 di MITEC hari ini.

Ditanya mengenai penyertaan pempamer syarikat pertahanan pada DSA dan NATSEC Asia 2018 kali ini, Raja Mohamed Affandi berkata, ia meningkat kepada 280 setakat hari ini berbanding 260 pada tahun 2016.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, penganjuran pameran berkenaan memberi impak positif kepada negara dan dengan adanya teknologi canggih yang dipamerkan, ia memberi idea kepada pihak berkuasa untuk mempertingkatkan aspek keselamatan dan pertahanan negara.

"Sebarang ancaman luar dapat diatasi dan saya berterima kasih kepada pihak-pihak berkenaan dalam membantu menjayakan pameran ini," katanya.  
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Majlis pembukaan DSA edisi ke-16 itu dijadual disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein malam ini.

DSA merupakan acara dwitahunan yang diadakan sejak 1988. - Bernama