Berdasarkan pengiraan undi setakat 10.30 pagi ini, pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Ma'aruf Amin mendahului pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Pengiraan undi KPU menunjukkan Presiden Jokowi, 57, dan pasangannya untuk naib presiden, Ma'aruf, 76,  mendahului dengan 54.89 peratus, hasil daripada 37,787 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian, daripada keseluruhan 813,350 TPS.

Proses pengiraan boleh diikuti menerusi laman web rasmi KPU iaitu di https:///infopemilu.kpu.go.id.

Berdasarkan hitung cepat atau quick count oleh  40 badan-badan survei bebas yang berdaftar dengan KPU, regu Jokowi-Ma'aruf menang dengan peratusan 54 hingga 56 peratus.

Namun, Prabowo, 67, menolak hasil hitung cepat itu, sebaliknya mengisytiharkan kemenangannya berdasarkan hitung cepat yang dilakukan pihaknya.

Pemerhati dan penganalisis politik melihat Prabowo tidak konsisten dengan sikap dan penerimaannya terhadap quick count badan-badan survei bebas itu yang berdasarkan kepada quick countPilihan Raya Gabenor Jakarta pada 2017, memenangkan gabungan Anis Baswedan dan Sandiaga Uno daripada Parti Gerindra iaitu parti Prabowo, mengatasi pasangan Basuki Tjahaja Purnama (Ahok)-Djarot Saiful Hidayat.

"Prabowo menerima hasil quick account itu (Pilihan Raya Gabenor Jakarta 2017)  dan kami juga  langsung menerima," kata jurucakap Tim Kempen Jokowi-Ma'aruf, Arya Sinulingga.

Penganalisis politik melihat tindakan Prabowo melakukan sujud syukur selepas mengisytiharkan kemenangannya itu seperti mengulangi tindakannya pada 2014,yang turut mengisytiharkan kemenangannya sebelum pengumuman KPU.

"Percaya tak lembaga (badan) survei itu? Pembohong! rakyat tidak percaya sama kalian, mungkin kalian boleh pindah  ke Antartika, bisa (boleh) berbohong kepada penguin di Antartika," Prabowo dipetik berkata ketika berucap  kepada penyokongnya di kediamannya di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan. - Bernama