Beliau juga berkata, sebaiknya Exco mengemukakan pandangan mereka pada mesyuarat dan bukan secara terbuka kepada media khususnya berhubung isu sensitif seperti pemilikan tanah 999 tahun untuk kampung baharu. 

"Saya rasa disiplin sebagai Exco perlu dibaiki dan masing-masing perlu faham bila masanya kita perlu keluarkan pandangan dan sebagainya... bukan semua perkara kita boleh sebut sesuka hati.

"Tapi saya fikir ini pengalaman baharu bagi ramai orang termasuk saya. Perkara ini boleh dibaiki dan jangan tunjuk perbalahan dan perbezaan ini secara terbuka kepada umum, ini kurang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban di Masjid Al-Mukmin di Kampung Batu 3 di sini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan mengadakan  bengkel  untuk mencari jalan dalam melaksanakan manisfesto Pakatan Harapan di Perak termasuk membincangkan isu tanah tersebut.

Katanya bengkel tersebut akan disertai mereka yang pakar termasuk dalam perlembagaan dan bekas pegawai tinggi kerajaan.

Ini kerana katanya terdapat pandangan berbeza berhubung isu tanah tersebut termasuk yang mengatakan langkah  memberikan hak milik 999 tahun kepada penduduk kampung baharu melanggar  Perlembagaan Persekutuan. - Bernama