Mangsa yang maut dikenali sebagai Liu Chee Wei, 25,  berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, lelaki yang berasal dari Pulau Pinang dan bekerja sebagai tukang masak itu ditahan di sekitar Sungai Petani kira-kira pukul 8.30 malam semalam.

"Suspek merupakan rakan kepada mangsa dan juga pemilik kereta yang ditemui terbakar tidak jauh dari tempat mayat ditemui," katanya di sini hari ini.

Kata beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman," ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada dada, pipi dan tangan di belakang sebuah rumah teres di Taman Arked, Bakar Arang di sini semalam. - K! ONLINE