Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata arahan itu berkuatkuasa serta-merta.

"Mengikut rekod Honda (Honda (M) Sdn Bhd),  sebanyak 71,315 kereta syarikatnya keluaran 2003 hingga 2013 belum menukar beg udara jenis Takata yang bermasalah. 

"Saya telah arahkan JPJ untuk tidak membenarkan pemilik kenderaan yang terlibat memperbaharui cukai jalan sekiranya tidak mengemukakan surat pengesahan daripada Honda yang mereka telah menukar beg udara," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga mangsa kemalangan di Taman Len Seng, Cheras yang maut, Pong Hou Tien, 23, pada Isnin (28 Mei), dipercayai berpunca daripada kerosakan beg udara kenderaan Honda City yang dipandunya.

Turut hadir pada lawatan di Jalan Damai Perdana, dekat Cheras, di sini adalah Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shahruddin Khalid.

Anthony berkata setakat ini, terdapat lapan kes kemalangan jiwa membabitkan beg udara jenis Takata itu di Malaysia dan menggesa pemilik syarikat kereta lain yang menggunakan beg udara jenis sama supaya memberi data mengenai pemilik kenderaan yang belum menukar beg udara mereka kepada JPJ. 

"Dalam hal ini, saya tidak mahu menuding jari kepada pemilik syarikat kereta kerana mereka dari semasa ke semasa telah mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik kenderaan untuk menukar beg udara. Ia bergantung kepada kesedaran pemilik kenderaans endiri," katanya. - Bernama