Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 34 hingga 55 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu salah satu cawangan syarikat berkenaan di Seksyen 14 di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner S. Sasikala Devi berkata, selain serbuan di Shah Alam, pihaknya turut menyerbu dua lagi premis syarikat tersebut di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.

Katanya, serbuan di Melati Utama mendapati premis tersebut telah ditutup sejak dua bulan lalu dan serbuan di Bandar baru Uda pula mendapati premis itu masih beroperasi.

"Hasil serbuan di Johor Bahru yang telah dilakukan oleh JSJK IPK Johor Bahru telah merampas beberapa dokumen seperti sijil baka kucing sebagai rujukan kerana setiap kucing yang terlibat dalam skim itu dipakaikan mikrocip yang mengandungi maklumat haiwan tersebut.

"Serbuan di sini (Shah Alam) telah berjaya menahan dua lelaki iaitu pemilik dan pengurus kedai haiwan terbabit. Selain itu kita turut merampas beberapa dokumen berkaitan sijil baka kucing serta beberapa dokumen berkaitan,"katanya pada sidang akhbar selepas operasi 'Ops Meow' di Seksyen 14 di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan di tiga premis milik syarikat itu semalam dijalankan selepas pihaknya menerima kira-kira 35 aduan daripada pelabur yang melabur dalam skim pelaburan kuching sejak setahun lalu melibatkan tiga buah negeri Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru.

Menurutnya, modus operadi skim pelaburan itu adalah mangsa ditawarkan menyertai skim pelaburan jual beli kucing jenis baka import seperti Pedigree, Siberian, Scottish Fold Streaight, Bristih Short Hair pada harga antara RM7,000 hingga RM30,000 seekor mengikut jenis.

"Kucing yang dibeli ini akan ditinggalkan di premis syarikat itu untuk dibiakkan. Mangsa (pelabur) ini dijanjikan pulangan yang lumayan melalui anak kucing yang dilahrikan apabila ia dijual kepada pelanggan.

"Mangsa dijanjikan keuntungan sehingga 70 peratus daripada harga jualan seekor anak kucing terbabit. Bagaimanapun, setelah menunggu lebih setahun, para pelabur tidak mendapat sebarang keuntungan yang dijanjikan dan baharu mereka sedar telah ditipu oleh syarikat berkenaan,"ujarnya.

Sasikala Devi berkata, pihaknya yakin masih ramai lagi pemilik kucing diperdaya dalam skim ini dan mereka disaran supaya tampil membuat laporan dengan segera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - K! ONLINE