Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini berikutan mereka kini bukan parti kerajaan sebaliknya pembangkang.

"Kita tidak boleh terikat dengan cara lama lagi apabila memboikot calon-calon luar.

"Bukan keistimewaan untuk bertanding (calon tempatan), kalah sudah tentu tetapi menang InsyaAllah," katanya ketika ditemui selepas pengumuman penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19 di sini hari ini.

Menurut beliau yang merupakan Pengarah PRK BN, pendekatan baharu itu merupakan strategi dalam mengemukakan wakil parti bagi menyuarakan isu-isu masyarakat.

Sehubungan itu, Mohamad meminta agar pengundi di DUN Sungai Kandis memberikan peluang kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam menang dalam PRK ini.

"Tidak baik untuk sesuatu kerajaan (negeri) terlalu banyak (wakil) kerajaan dan tiada pembangkang dalam membawa isu atau masalah rakyat.

"Latar belakang Lokman sebagai aktivitis dan reformasi mampu mengupas isu dengan baik sekiranya dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) nanti," jelasnya.

PRK DUN Sungai Kandis ini melibatkan pertarungan tiga penjuru antara Lokman dan  Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, 48, sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta calon bebas, K. Murthy, 60. -K! ONLINE