Operasi tersebut yang bermula sejak malam tadi difahamkan sudah memasuki jam ke-12 setakat pukul 10.15 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi mengesahkan beliau masih berada di kediaman tersebut bagi melakukan pemeriksaan.

“Ya saya bersama pasukan berada di dalam kediaman beliau (Najib) dan saya tidak boleh mengulas lebih lanjut,” katanya.

Terdahulu, pihak polis dengan menaiki lebih daripada 10 buah kereta berserta sebuah trak tiba di rumah Najib sekitar pukul 10.15 malam semalam.

Kediaman beliau digeledah kira-kira 30 minit selepas beliau pulang daripada menunaikan solat Tarawih di Masjid Kampung Baru di sini. - K! ONLINE