Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba pada pukul 11.43 pagi di Istana sebelum ketibaan Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu tiba kira-kira pukul 11.48 pagi dengan kenderaan khas sebelum memasuki istana.

Muhyiddin yang memenangi kerusi Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir menghadap Sultan Ibrahim bagi memohon perkenan pembentukkan kerajaaan negeri Johor yang baharu.

PH akan menyerahkan tiga nama calon Menteri Besar kepada Sultan Ibrahim untuk dipertimbangkan baginda.

Difahamkan antara tiga nama dipersembahankan kepada Sultan Ibrahim ialah Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Setiausaha Pakatan Harapan Johor, Datuk Osman Sapian.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, PH memenangi 36 kerusi menewaskan Barisan Nasional (19) dan Pas (1) sekaligus menang majoriti untuk membentuk kerajaan baharu. - K! ONLINE.