Naib Pengerusinya See Chee How membuat laporan itu di Balai Polis Bahagian Kuching di sini.

Katanya, beliau juga akan membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin ini.

See yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang berkata, beliau terpanggil untuk membuat laporan polis selepas membaca artikel bertajuk 'Forest Department Sarawak will be able to fly soon' dalam portal Dayak Daily semalam.

Dayak Daily memetik Pemangku Pengarah Jabatan Perhutanan Sarawak Hamden Mohammad antara lain berkata: ".. pesawat sedang diuji Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kami harap dapat menerima pesawat itu tidak lama lagi ".

See mendakwa pesawat empat tempat duduk DA424M-NG Diamond dibeli menggunakan peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Persekutuan dan ia akan diletakkan di bawah Jabatan Perhutanan negeri.

"Dengan menyatakan pesawat itu sedang diuji MAVCOM, pihak polis dan Kementerian Pengangkutan Persekutuan sepatutnya menyiasat sama ada terdapat individu atau orang perseorangan atau syarikat swasta/awam yang terlibat dalam transaksi pembelian DA42M- Pesawat NG Diamond ini.

"Dan apakah rancangan mereka dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Persekutuan dan Jabatan Perhutanan Sarawak untuk membekalkan pesawat DA42M-NG Diamond yang dibeli jauh lebih mahal daripada harga sepatutnya," katanya selepas membuat laporan polis itu.

See berkata pada 26 dan 27 Oktober tahun lepas, pembelian pesawat itu dilaporkan secara meluas di semua akhbar di Sarawak.

"Daripada dapatan kami, kerajaan telah membayar sejumlah besar wang untuk sebuah pesawat  utiliti dan latihan berenjin kembar ringan ini walaupun ia varian misi khas dengan pengubahsuaian daripada pesawat  DA42 standard," dakwanya. - Bernama