Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat dengan pertambahan kutipan sampah sebanyak 511 tan metrik  di Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang tempoh 25 hari berpuasa.

Sepanjang tempoh itu 44,634 tan metrik sampah dikutip di Kuala Lumpur iaitu peningkatan  132 tan metrik berbanding 44,502 tan metrik dalam tempoh yang sama tahun lepas  manakala di Putrajaya 1,870 tan metrik sampah dikutip sepanjang 25 hari berpuasa, meningkat 379 tan metrik berbanding 1,491 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, di Pahang bagaimanapun berlaku pengurangan yang drastik di mana sampah yang dibawa ke tapak pelupusan sepanjang 25 hari berpuasa ialah sebanyak 11,121 tan metrik iaitu pengurangan 10,135 tan metrik berbanding 21,256  tan metrik dalam tempoh yang sama tahun lepas.  

Mohd Zain berkata selain makanan  bahan pembungkusan seperti beg plastik dan pek polisterin turut menyumbang kepada peningkatan itu.

Sementara itu, lebih 3,000 petugas Alam Flora akan terus menjalankan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam seperti biasa di sepanjang cuti perayaan Aidilfitri.

"Musim perayaan tidak akan mengubah jadual atau perjalanan operasi Alam Flora dan kami telah membuat persediaan awal kerana menjangkakan jumlah kutipan sampah akan meningkat terutama di kawasan populasi penduduknya tinggi," katanya.

Alam Flora merupakan salah sebuah syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan di selurh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang. - Bernama