Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Zaimah Mahmod, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di leher dan badan dipercayai ditikam dengan pisau.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek berusia 28 tahun bertindak menikam rakannya akibat perselisihan faham.

"Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah mental berikutan kerana selepas kejadian suspek sendiri menelefon pihak polis untuk memaklumkan tentang kejadian itu (bunuh). 

"Ketika kami sampai dilokasi kejadian juga suspek masih berada dilokasi kejadian iaitu di dalam stor pejabat pentadbiran kolej ini. Kita turut menemui senjata yang digunakan suspek untuk menikam rakannya itu di lokasi kejadian,"katanya di sini hari ini.

 Azizan berkata, siasatan awal juga mendapati suspek baharu sahaja bekerja di kolej vokasional terbabit iaitu sekitar tiga bulan, manakala mangsa telah bekerja hampir 18 tahun.

"Siasatan pihak kita juga mendapati suspek telah mengaku secara lisan menikam dan mencekik simati (mangsa) sehingga mati kerana suspek ada perasaan tidak suka dengan mangsa.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit. Kita juga akan mendapatkan perintahan tahanan reman esok dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat,"katanya

 Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE