Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi, Proton Persona yang dipandu mangsa, Nur Syazwani Mohd. Hanapi, 26, dari arah Kuala Krai ke Gua Musang gagal memotong sebuah treler lalu merempuh bas tersebut dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan turut menyebabkan seorang lagi penumpang kereta yang juga adik lelaki mangsa, Muhammad Syazwan, 25, cedera ringan.

“Manakala, 44 penumpang temasuk dua pemandu bas yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai selamat.

“Sejurus kejadian bas ekpres terbabit cuba mengelak lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE