Mangsa, Alias Hassan, 62, dikatakan keluar memancing sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, berdasarkan maklumat daripada anak lelaki mangsa, bapanya dipercayai telah keluar seorang diri dari rumah di Taman Purnama pada pukul 5 petang untuk memancing.

"Mengikut keterangan anak mangsa, bapanya berkerja sebagai pemandu van jenazah dan tidak tahu berenang," katanya di sini hari ini.

 Md. Asri memberitahu, hasil siasatan dan maklumat saksi di tempat kejadian, mangsa didapati telah terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

"Seorang saksi yang juga pekerja Loji Air Muka Sauk telah nampak kejadian dan cuba untuk menolong untuk menyelamatkan mangsa tetapi tidak berjaya," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan keseluruhan badan mayat mangsa mendapati tiada sebarang unsur kejadian jenayah.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang menggunakan van jenazah yang selalu dipandu mangsa.

"Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan mati lemas," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Alhafiz Asmuni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.02 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera FRT diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba, Ismayudin Ibrahim digerakkan ke lokasi untuk operasi khidmat khas mencari dan menyelamat mangsa lemas.

Turut membantu dalam operasi itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai dengan sebuah jentera FRT dari BBP Bestari Jaya.

"Mayat mangsa yang ditemui orang awam itu telah dibawa ke tebing. Pasukan bomba menggunakan pengusung untuk mengangkat mayat ke darat," katanya.

Katanya, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - K! ONLINE