Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lelaki berusia 66 tahun itu dibebaskan pada pukul 12 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Katanya, pemandu van itu sebelum ini direman selama tiga hari bermula 10 Oktober lalu hingga hari ini.

"Hasil siasatan, kita mendapati terdapat beberapa aspek kecuaian pemandu van dalam kejadian tersebut.

"Polis juga telah mengambil keterangan saksi-saksi lain dan kertas siasatan sedang disiapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Ahmad Damian Iqbaal Abdullah, 7, menemui ajal di depan rumahnya sendiri akibat digilis van sekolah yang dinaikinya selepas turun kenderaan tersebut di Jalan Rotan Semut, Seksyen 18 dalam kejadian pukul 6.45 petang Selasa lalu. 

Menurut Baharudin, hasil siasatan juga mendapati pemandu van tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan saman lampau.

"Kita akan memohon pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya pengusaha dan pemandu bas atau van sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa. - K! ONLINE