Tertuduh, Mohd. Zaidi Di, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd. Saad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga tidak berdaya mengawal kenderaannya dan menyebabkan kematian lima individu termasuk seorang bayi di Kilometer 255.3 Lebuh Raya PLUS arah utara di sini pada pukul 11.47 pagi, 6 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Azhar memohon mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan dia mempunyai 31 rekod saman trafik lampau sejak 1999.

"Berdasarkan rekod saman trafik dalam tempoh 19 tahun itu, ia menunjukkan tertuduh tidak pernah serik melakukan kesalahan lalu lintas.

"Untuk makluman mahkamah juga, insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti treler, lori dan bas juga kerap berlaku dan ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada pemandu kenderaan berat lain," katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan terhadapnya memandangkan dia penanggung tunggal kepada seorang isteri yang tidak bekerja dan empat anak serta kedua-dua ibu bapa yang telah uzur.

Noorhidayah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan mengarahkan lesennya ditarik serta digantung bermula hari ini sehingga prosiding terhadap kes berkenaan selesai. - K! ONLINE