Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, B. Thinagaran, 39, yang dalam perjalanan menghantar sayur dari Cameron Highlands, Pahang ke Singapura disahkan maut di lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, treler dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa barangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Kelindan treler itu, A. Vadirelan, 37, patah kaki kanan serta mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

"Pemandu lori membawa muatan barangan milik JKDM dari Shah Alam, Selangor ke Senai di Johor tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi.

Mohd. Syazwan berkata, bomba dimaklumkan kemalangan itu berlaku apabila treler membawa muatan sayur tersebut melanggar belakang lori tiga tan berkenaan sewaktu tiba di lokasi kejadian.

Kata beliau, kejadian itu menyebabkan lori JKDM tersebut terbalik sejauh 600 meter dari tapak kemalangan, manakala pemandu dan kelindan treler tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang.

Menurutnya, pasukan bomba dengan kekuatan seramai 20 pegawai dan anggota bersama beberapa buah jentera mengambil masa kurang sejam bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

Jelas beliau, mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk menerima rawatan.

"Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 10 kilometer di lebuh raya berkenaan," katanya. - K! ONLINE