Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pukul 4.30 petang di sebuah rumah di Jeram, Kuala Selangor. 

Katanya, turut dirampas adalah sebuah treler tangki jenis Hino. 

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima tempahan daripada sebuah syarikat bagi melakukan pembuangan sisa kimia itu. 

"Semakan rekod mendapati suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas beliau, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 277 Kanun Keseksaan. 

Kosmo Online sebelum ini melaporkan kolam tadahan Taman Eng Ann itu dikesan tercemar dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bahan pencemar itu memasuki aliran air di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang awam 6 petang, Khamis lalu. 

Hasil sampel yang diambil di kolam itu mendapati terdapat sebanyak 21 jenis bahan kimia. - K! ONLINE